Sahabat- sahabatku yang dikasihi,
Apabila hati kita mula bercahaya, rasa tauhid mula membara, pekerti dan akhlak kembali mulia, marilah kita bangkit bersama menyahut seruan Pencipta yang Esa. Kerana Akhlak tanpa Syariat dianggap tercela dan Syariat tanpa akhlak pula adalah sia-sia.
Bersegeralah kita mengatur langkah untuk memakmurkan masjid-masjid Allah sebelum kita diserang dan dikepung semula oleh virus-virus hati yang tidak pernah menyerah kalah.
Virus Pemalas selalu saja menghalang kita daripada memakmurkan masjid Allah. Virus Lalai selalu menghalang kita daripada menunaikan solat diawal waktu. Virus Ujub pula adalah species yang paling ganas sehingga kita menganggap bahawa solat bersendirian di rumah itu adalah lebih baik daripada solat berjemaah di masjid.
Sahabat- sahabatku yang dikasihi,
Kita memakmurkan masjid Allah hanya sementara saja sedangkan kita dimakmurkan oleh Allah di akhirat kelak sepanjang masa. Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah memungkiri janji.
Apabila kita berjaya berkunjung ke masjid Allah kita juga bakal diserang oleh pelbagai species virus. Antaranya ialah Virus Riak, Virus Mudah Tersinggung, Virus Pengumpat, Virus Jeling-Jeling, Virus Tak Puas Hati, Virus Berkecil Hati, Virus Pengampu dan macam-macam lagi. Oleh itu sama-samalah kita berwaspada mudah – mudahan kita tidak tergoda dan bersangka baik sesama kita adalah sifat yang paling mulia.
Ada lagi satu species namanya Virus Penolak. Kerjanya asyik nak menolak saja. Kalau kita pilih maksiat maka ditolaknya kita ke arah maksiat dan kalau kita pilih ibadat maka ditolaknya kita ke arah ibadat. Tanda-tanda kita dijangkiti virus ini ialah apabila kita asyik duduk di masjid saja. Dah tak suka dunia lagi. Dah malas pergi kerja. Makan dan minum anak isteri ibu dan bapa diserah bulat-bulat supaya Allah yang jaga.
Sahabat- sahabatku yang dikasihi,
Majulah, bangkitlah, apabila hati kita mula bercahaya, rasa tauhid mula membara, pekerti dan akhlak kembali mulia, maka ilmu dan amal kita juga turut bercahaya. Tiada lagi debat sengketa, tiada lagi firnah-menfitnah, tiada lagi puak dan pihak, tiada lagi bermasam muka, tiada lagi taksub malah kita sama-sama bersikap terbuka. Yang arif memimpin yang jahil, yang alim pula menjadi contoh amalan kita.
Ya Allah Ya Tuhan Kami. Satukan lah hati-hati kami supaya menjadi
Apa yang Engkau suka maka itulah yang kami suka dan
Apa yang Engkau benci maka itulah yang kami benci.
Amiin…
Posted @ www.isuhangat.net
**LETAKKAN IKLAN ANDA DI SINI**







Amin